Cinta, sesuatu yang sukar diungkap dengan kata-kata. Lain orang, lain tafsirannya. Hanya yang merasai cinta mengerti keindahan di sebaliknya, keindahan yang tidak termampu untuk diungkap dengan kata-kata namun adakalanya mampu terzahir melalui gerak gaya. Cinta bukan hadirnya hanya dari manusia untuk manusia. Ada yang mencintai kerjaya lebih dari segalanya sehingga sanggup mendaki, mendaki dan terus mendaki untuk mencapai kemuncak kerjaya yang menjadi idaman. Ada yang mencintai harta, mencintai makanan, mencintai kecantikan dan keindahan, mencintai gaya dan pandangan baik manusia malah hampir segala perkara memiliki pencinta walau ukuran cinta yang diletakkan oleh yang menyintai itu berbeza-beza nilainya. Namun, disebalik indahnya perasaan mencintai dan dicintai itu, harus diingat, jangan salah meletakkan rasa cinta pada sesuatu yang tidak selayaknya menerima cinta atau hanya layaknya sekadar- sekadar sahaja kerana andai salah meletakkan cinta, merana mungkin kunjung tiba.
Kisah cinta, hadirnya di merata-rata. Pandanglah, lihatlah. Jika mencintai manusia, letakkanlah cinta kita pada yang halal untuk kita cintai. Baru tidak sia-sia mencurah rasa. Namun, sedarkah kita, di sebalik segala sesuatu yang kita cintai, ada yang lebih utama, yang lebih setia menunggu dan mengharap cinta dari kita. Pemilik cinta ini, tentunya tidak perlu diragui kesetiaan, ketulusan, keagungan dan maha hebat cintanya berbanding cinta manusia yang seringkali diragui setianya, tulusnya dan mudah pula beralih arahnya. Siapakah pemilik cinta Agung ini? Dialah pencipta, pemilik, penguasa seluruh jagat raya juga pemilik kita semua yang taraf sebenar adalah hamba walau acapkali kita leka, lupa serta mungkir untuk bertingkahlaku selayaknya seorang hamba. Dialah pemilik cinta teragung iaitu Allah S.W.T.
Mencintai manusia, andai sudah sekian lama menunggu, mengharap cinta namun tidak berbalas, tentu akhirnya beralih juga arahnya walau sesukar mana diri melepaskan, melupakan cinta itu. Namun, Pemilik Cinta Agung, tidak sekali-kali berhenti berharap akan cinta dari hamba walau hambaNya seringkali melupakan, mengabaikanNya. Pemilik Cinta Agung, tetap juga memerhatikan hamba-hambaNya, setiap detik setiap saat, memberikan kehendak, keperluan hambaNya, meminjamkan kudratNya agar hambaNya dapat terus melihat dengan mata mahupun mata hati, dapat terus melangkah, dapat terus berfikir. Pemilik Cinta Agung tetap juga meminjamkan kasih-sayangNya agar cinta sesama insan dapat dinikmati oleh setiap hambaNya. Pemilik Cinta Agung tetap tidak melupakan, tetap tidak pernah lari dari hambaNya walau segala nikmat yang dilimpahkan itu seringkali membawa hambaNya semakin jauh dariNya malah tidak membalas cinta yang diharapkanNya. Hanya sesekali Pemilik Cinta Agung mendatangkan kegemparan kepada hambaNya, digoyangkan bumi milikNya, dilambungkan ombak lautanNya sebagai peringatan agar hambaNya sedar bahawa Dia itu ada, walau seringkali sedarnya sedetik cuma. Namun, tulusnya cinta Pemilik Cinta Agung sehingga tetap setia menunggu, mengharap detik hambanya sedar bahawa Dia ada mengharapkan, lebih layak, lebih utama untuk dicintai.
Kisah cinta antara manusia dengan manusia mungkin sudah acapkali ditonton, dibaca, didengar atau mungkin disaksikan sendiri. Tidak kurang juga ada yang memilih untuk merahsiakan cinta, biar terzahir bila sampai ketikanya. Itu pilihan masing-masing, tiada siapa berhak menghalang selagi pilihan itu tidak bertentangan dengan agama dan adat. Bagaimana kisah cinta kita denganNya? Inilah yang saya maksudkan dengan simpanlah cerita cinta. Biarlah bicara cinta antara kita dan Dia menjadi rahsia. Andainya kita mencintai manusia adakah kita akan ceritakan, paparkan kisah cinta kita untuk tatapan umum? Jawapannya mungkin ya namun tentu ramai yang mengatakan tidak. Tentu sekali sukar untuk kita menceritakan kepada sesiapa jua secara terbuka bagaimana kita melayari cinta itu. Kita tidak akan menceritakan bahawa setiap pagi, kita mengejutkan si dia melalui kiriman sms, bertanya khabar, meluangkan masa bersama juga mengirimkan ucapan selamat malam, ’sweet dreams’ atau moga awak mimpikan saya. Tentunya tidak bukan? Tentunya kita akan menyimpan bicara-bicara cinta, penzahiran cinta dengan si dia sebagai rahsia cinta yang tidak mudah untuk dibongkar oleh sesiapa.
Justeru, mengapa apabila kita merasakan cinta atau baru sekadar menyayangi kepada Yang Maha Mencintai, mudah sahaja kita membocorkan rahsia cinta kita? Dengan mudahnya kita memaparkan bicara-bicara cinta kita dan Dia, masa yang diluangkan untuk berkasih-kasihan denganNya, keluh-kesah kita kepada Dia malah cara kita menzahirkan cinta kita kepadaNya, walau tiada siapa pernah bertanya. Bukan tidak boleh untuk kita berkongsi rasa cinta kita kepadaNya dengan sesiapa, malah mungkin perlu untuk kita bercerita agar hamba-hambaNya yang lain turut terpaut untuk merasai cintaNya namun biarlah ia berlaku apabila diminta atau dalam suasana yang tidak bersifat terbuka. Wajib juga kita selidiki, kita tanya pada diri adakah tidak terselit, tersembunyi rasa bangga diri atau mengharapkan pandangan baik atau suci dari teman taulan atau masyarakat sekeliling melalui pendedahan kisah cinta kita kepadaNya? Kita perlu faham bahawa pesona cinta yang dirasai setiap dari kita tidak sama dan keagungan cinta yang dimiliki, dirasai itu tidak sepatutnya dikongsi atau diceritakan kepada sesiapa sahaja sewenang-wenangnya.
Mengapa? Cuba kita fikirkan, adakah kita akan mengajarkan atau menceritakan kepada anak-anak kita bagaimana rasanya cinta dikala umurnya baru menginjak 2 tahun sedangkan rasa cinta akan hadir dalam dirinya setelah dia melalui beberapa fasa dalam hidupnya? Secara umumnya, rasa itu dapat dirasainya apabila dia menginjak usia remaja, iaitu suatu jangkamasa yang masih jauh berbanding usianya yang baru dua tahun. Dia perlu melalui beberapa tingkat kehidupan sebelum dia boleh merasai bagaimana itu cinta. Pendedahan yang diberikan, apabila tidak sesuai dengan peringkat usianya akan menyebabkan dia keliru, celaru malah mungkin tersasar lakunya akibat terlalu berusaha mencari makna dan merasai cinta hasil pendedahan yang terlalu awal diberikan kepadanya. Pendedahan yang tidak kena dengan masanya dan tidak sesuai dengan tingkat kefahamannya.
Inilah juga mengapa sebabnya kita perlu menyimpan rahsia cinta kita kepadaNya, tidak sewenang-wenangnya didedahkan kepada sesiapa kerana pendedahan rahsia cinta itu, apabila diketahui oleh mereka yang belum memahami makna cintaNya, belum sampai ke peringkat pendakian cinta, belum terbuka lapisan-lapisan dirinya yang melayakkan dia memperolehi cinta mungkin mengakibatkan dia tersasar dari haluan cinta sebenar, salah merasai cinta atau salah mencintai atau mungkin juga kita sendiri yang akhirnya akan tersasar akibat dari terlalu ghairah menzahirkan nikmat cinta yang dirasai pada tempat yang tidak layak dibuka kisah cinta itu sehingga akhirnya tanpa sedar keikhlasan mencintai dan dicintai itu semakin pudar akibat dari lahirnya rasa bangga diri, riak, sombong serta lain-lain sifat yang dibenci oleh Pencinta Agung.
Ingatlah, ada pihak yang telah berjanji untuk memusnahkan cinta anak Adam kepada Pemilik Cinta Agung selagi masih ada nafas anak Adam itu dan salah satunya melalui suntikan sifat-sifat mazmumah dalam hati anak Adam yang adakalanya sifat itu hadir tanpa kita sedar kerana letaknya dalam hati kita sangat terselit. Usahkan suatu rasa yang berlebihan malah andai terdetik di dalam hati kita bahawa ’aku lebih baik dari dia’, iaitu membandingkan kita dengan individu lain kerana merasakan amal zahir kita lebih berganda dari dia, kerana kita sering ke surau sedangkan dia tidak, lidah kita lebih basah dengan kalam Quran sedangkan dia tidak, sedar atau tidak merupakan suatu panahan racun Iblis yang sungguh ampuh bisanya, yang mampu mensia-siakan seluruh amal kita. Amal zahir adalah amal yang nyata sedangkan amal batin adalah amal yang tersembunyi. Rahsia dan tingkat amal yang tersembunyi setiap diri itulah darjatnya mungkin jauh lebih tinggi, yang mengatasi lebihnya amal zahir kita. Justeru, bagaimana mungkin kita merasakan 'aku lebih baik dari dia'? Ingatkah kisah Barsyisya, seorang abid yang tentunya sangat mendalam cinta kepadaNya sehingga sanggup mengabdikan diri, mengenepikan segala nikmat duniawi demi bermujahadah kepadaNya? Namun pencinta Dia sehebat Barsyisya pun tetap juga tewas pada akhirnya, penangan permainan licik Iblis dan sekutunya.
Fahamilah, pihak yang berjanji untuk memusnahkan cinta Agung ini, iaitu Iblis dan sekutunya tentu lebih berusaha sehabis daya untuk memusnahkan cinta mereka yang telah faham, telah kenal makna cinta kepada Pemilik Cinta Agung. Justeru itulah, sebaiknya, simpankanlah cerita cinta itu biar tiada siapa yang mengetahui terutamanya pihak yang telah berjanji itu kerana kita bimbang sekiranya pihak itu tahu rahsia agungnya cinta kita kepada Dia, mereka akan mula merencana permainan hebat, nyata mahupun tersembunyi untuk mencapai matlamat memesong atau menghapuskan kecintaan kita kepadaNya sebagaimana janji mereka di awal-awal dahulu. Lihatlah di sekeliling kita atau lihatlah dalam diri kita dahulu yang terutamanya, betapa Iblis dan sekutunya telah berjaya memenuhi janji.
Semoga kita semua sedar wujudnya cinta dari Dia, yang membawa kita untuk terus berada dalam cintaNya, merasai cintaNya, mendaki dan terus mendaki untuk mencapai tingkat cinta mencintai dan kasih-mengasihi yang tertinggi, yang benar-benar hakiki, abadi.....



0 comments:
Post a Comment