CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, January 20, 2010

Teka-Teki

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya:

Imam Ghazali = "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?"

Murid 1 = " Orang tua "

Murid 2 = " Guru "

Murid 3 = " Teman "

Murid 4 = " Kaum kerabat "

Imam Ghazali = " Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI . Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( *Surah Ali-Imran :185).



Imam Ghazali = " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?" 

Murid 1 = " Negeri China "

Murid 2 = " Bulan "

Murid 3 = " Matahari "

Murid 4 = " Bintang-bintang "

Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU . Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama".


Imam Ghazali = " Apa yang paling besar di dunia ini ?"

Murid 1 = " Gunung "

Murid 2 = " Matahari "

Murid 3 = " Bumi "

Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (*Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."



IMAM GHAZALI = " Apa yang paling berat di dunia? "

Murid 1 = " Baja "

Murid 2 = " Besi "

Murid 3 = " Gajah "

Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (*Surah Al-Ahzab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."



Imam Ghazali = " Apa yang paling ringan di dunia ini ?"

Murid 1 = " Kapas"

Murid 2 = " Angin "

Murid 3 = " Debu "

Murid 4 = " Daun-daun"

Imam Ghazali = " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT . Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat "



Imam Ghazali = " Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? "

Murid- Murid dengan serentak menjawab = " Pedang "

Imam Ghazali = " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri "

* Terjemahan surah:
Surah Ali Imran:185-  Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.


Surah Al-A'raf:179-  Dan sungguh, akan Kami isikan neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak mempergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti hewan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah.


Surah Al-Ahzab:72-  Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak akan melaksanakannya(berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.

Sunday, January 10, 2010

Kata Orang Tua-Tua



Kalau rajin berborak dengan orang tua, mendengar cerita mereka atau sekurangnya ambil tahu sedikit sebanyak pengalaman hidup mereka, tentu banyak pengajaran yang diperoleh. Betul kata pepatah, mereka lebih dahulu makan garam yang maknanya, pengalaman mereka dalam kehidupan tentu lebih banyak. Mana yang elok bolehlah diambil jadi panduan, yang tak elok tu jadikan sempadan.


Saya percaya, anak-anak muda zaman sekarang tentu dah ramai yang lupakan pesan-pesan orang tua kerana telah disetkan dalam minda masing-masing, yang lama-lama tak sesuai lagi untuk zaman serba moden ni. Kolot dan ketinggalan zaman. Memang, ada yang sudah kurang sesuai untuk dipraktikkan sekarang tapi tetap ada yang boleh digunapakai. Pandai-pandailah aplikasi untuk mana-mana situasi yang sesuai.

Orang Melayu terkenal dengan pepatah, kiasan atau perumpamaan apabila berbicara. Semua itu warisan nenek moyang kita. Tujuan mereka pelbagai. Di situ juga letaknya kesantunan dan halusnya bahasa Melayu. Apa yang pasti, jika difahami sebenarnya, penggunaan pepatah, kiasan dan sebagainya adalah satu pendekatan dari segi psikologi. Orang tua dahulu psikologinya tinggi walau mereka sebenarnya mungkin tidak tahu pun pendekatan yang mereka gunakan adalah pendekatan psikologi. Saya selalu dipesan, kalau orang tua cakap, jangan kita membantah. Tujuan disuruh tidak membantah itu supaya kita dapat melatih diri untuk menghormati orang lain terutamanya yang lebih tua, tidak meninggi diri atau sekurang-kurangnya berfikir akan apa yang dikatakan itu. Kalau benar dan elok, pakailah, kalau tidak, abaikanlah. Tak rugi apa-apa pun kan.

Lihat yang berikut, beberapa contoh kiasan yang digunakan orang tua-tua dan psikologi disebaliknya :

  •  Anak dara jangan menyanyi di dapur, nanti dapat suami tua
Ada yang mungkin menjawab, “ Ala, aku menyanyi kat dapur,dapat je suami muda. Muda dari aku lagi..” Memang, itu soal jodoh. Tapi sebenarnya itu satu bentuk teguran yang mungkin mampu menghentikan terus tabiat anak-anak dara yang suka menyanyi di dapur. Sebabnya, pasti anak-anak dara takut kalau dapat suami tua, yang dah bertongkat, yang dah berkedut kulitnya.

Sebenarnya, bukankah langsung tak manis anak dara menyanyi sewaktu memasak atau ketika melakukan kerja-kerja dapur? Bila khusyuk sangat menyanyi tu, kerja yang cepat boleh jadi lambat. Silap-silap boleh hangus gulai ataupun tersembur air liur dalam gulai waktu semangat menyanyi terutama bahagian ‘chorus’. Dah tak pasal-pasal masuk perasa tambahan dalam gulai. Juga, bila dah menjadi kebiasaan menyanyi di dapur, mungkin bila ada tetamu berkunjung pun, secara tak sengaja akan menyanyi. Tak ke malu mak bapak bila anak-anak kurang adab? Menyanyi dalam bilik air pun tak elok tapi ramai juga yang jadikan amalan…

  • Jangan duduk atas bantal, nanti bisul punggung
Cuba duduk atas bantal. Bisul tak punggung? Haa, siapa yang bernasib baik, bisul lah punggungnya. Huhuhu…Sebenarnya, yang selalu duduk atas bantal ni budak-budak. Jadi, takkan nak diterangkan panjang lebar pada budak tu, tak elok duduk atas bantal. Bantal tu tempat letak kepala. Kepala ni tarafnya mulia, takkan nak disamakan letaknya dengan punggung. Tak ke membuang masa menerangkan pada budak-budak kecil panjang lebar begitu? Dah habis penerangan, tanya mereka faham ke? Kalau angguk, untunglah tapi rasanya ramai yang menggeleng. Tak pun, angguk tapi sebenarnya tak faham.

Maka, orang tua-tua ni kreatifnya mereka, dikhabarkan pada budak-budak jika duduk di atas bantal nanti bisul. Haaa, kalau bisul, nak duduk susah, pakai seluar susah, sakit. Jadi, takut la budak-budak tu dan tabiat duduk atas bantal pun dapat dihapuskan. Itulah psikologinya.

  • Jangan bangun meninggi hari, nanti lambat dapat jodoh
Sekarang ni, ramai betul yang bangun pagi tapi dah tak pagi pun sebenarnya. Sarapan pagi kononnya, padahal dah boleh dikira makan tengahari. Sembahyang subuh pukul 7 ke atas. Sembahyang apa macam tu? Ataupun senang boleh terus buat sembahyang Duha kot? Hmmmm….

Kiasan ini pun satu. Tentu ramai yang susah nak percaya. Sebabnya, ramai je yang bangun meninggi hari tapi cepat saja kahwinnya. Malah, ada yang lagi cepat dari orang yang bangun gelap-gelap pagi. Jodoh itu urusan Allah. Cuma, tak elok la bangun meninggi hari. Mak dah siapkan makan pagi, kita baru terhegeh-hegeh nak mandi lepas tu bersila je makan. Amboiiii, banyak cantik…. Orang lain dah boleh siapkan macam-macam kerja, kita baru nak celik mata. Rugi tau. Kalau yang tahu memilih, mungkin tidak mahu yang tabiatnya begitu sebab nanti, banyak yang tak terurus, banyak yang tunggang-langgang.

Psikologinya? Itulah, kalau nak dibebel panjang-panjang pada anak-anak yang dah besar, tentu macam-macam jawabnya, liat je telinga nak mendengar sebab masing-masing rasa dah besar, dah pandai fikir sendiri. Macam la semua dah betul sampai tak boleh ditegur. Senangnya, orang tua gunakan kiasan lambat dapat jodoh. Mudah sikit nak bangun agaknya. Takuuuuttttt kahwin lambat…..

Banyak lagi contoh-contoh, terlalu banyak untuk dihuraikan disini. Apapun,

Kadang-kadang kita tak sedar apa yang kita sudah miliki/warisi sebenarnya lebih baik atau lebih berharga dari yang sibuk kita kejarkan. Kita memandang budaya-budaya atau peradaban yang dimiliki oleh bangsa lain atau budaya lain terutamanya yang datang dari barat, sebagai suatu yang lebih bersifat moden dan patut dibanggakan. Hal itu terjadi kerana minda kita telah berjaya diprogramkan untuk menyanjung apa sahaja yang dipromosikan mereka melalui pelbagai media yang besar pengaruhnya, terutama tv. Dan asakan minda kita untuk tujuan itu berlaku setiap saat di mana-mana sahaja lebih-lebih lagi dengan kemajuan teknologi kini. Hasilnya, kita buang hak milik kita, kita pinjam dan pakai milik orang. Lalu, bangga tak tentu pasal dengan yang dipinjam itu.

Anak-anak bangsa Melayu khasnya menjadi buta dan malu akan warisan adab budaya bangsa sendiri dan akhirnya kesantunan, keindahan ,peradaban dan jati diri bangsa Melayu semakin pudar dan kelam. Jika fenomena ini dibiarkan berterusan,tidak mustahil generasi Melayu yang tinggal nanti hanya menyandang gelaran Melayu. Nama sahaja bangsa Melayu tapi kosong dari segi pengisian sebenar bangsa Melayu. Saya menulis bukan berniat menjadi pejuang bangsa tapi saya menyayangi warisan bangsa.

Saturday, January 9, 2010

Sihat Jadi Tak Sihat

Dalam banyak-banyak aktiviti, mesti ada aktiviti sihat, ada yang tak sihat. Dalam yang baik mesti ada yang tak baik. Itu lumrah.


Yang jelas tak sihat, antaranya tentu aktiviti seperti melepak, parti liar dan lumba haram. Aktiviti bagaimana yang dipanggil aktiviti sihat? Hmmm, beriadah seperti berjoging, bercuti ke tempat peranginan, belajar berkumpulan dan pelbagai.

Bila kita rajin buat aktiviti seperti ini, maka baguslah. Kita tergolong dalam golongan yang rajin melakukan aktiviti sihat. Tapi sebenarnya, yang sihat-sihat, yang baik-baik ni, sekelip mata saja kita boleh ubah jadi tak sihat. Ada antara kita yang memang rajin ubah aktiviti-aktiviti sihat ni jadi tak sihat. Dah jadi tabiat pun. Pecaya tak?



 -Bagi yang belum berkahwin-

Berjoging
Memang aktiviti yang sihat. Terbakar lemak-lemak dalam badan. Sering melihat orang berjoging dan antaranya aktiviti sihat ini rajin sekali dilakukan oleh pasangan. Suami isteri? Tidak juga. Yang selalu, alah yang saling panggil dengan gelaran b dgn yang .. b-yang. Berjoging berdua-duaan sahaja. Sihat lagi? Untuk fizikal memang la sihat tapi tentunya tidak untuk rohani. Juga, dari segi adat dan agama. Canggung dari segi adat, salah di sisi agama. Bukti? Pandanglah di sekeliling anda, terutama yang belajar di institusi pengajian tinggi. Nampak, kan? Dah berpuluh kali kena tegur pun, buat juga. Bangga lagi. Bila kena tegur pula, merungut, nak marah. Padahal bukan undang-undang ciptaan manusia. Jadi, marah kat siapa?




Bercuti
Bercuti ke tempat peranginan dengan keluarga atau perempuan dengan kawan perempuan dan sebaliknya, memang satu percutian yang sihat. Ye la, paling kurang, dapat tenangkan fikiran dengan bermacam tekanan persekitaran. Tapi sayangnya, jadi tak sihat sebab banyak yang bercuti berdua-duaan tanpa ikatan sah. Lagaknya macam ‘just married’. Bergambar berdua-duaan, berpeluk-sakan dengan pakaian tersalah saiz, kain tak cukup atau baju yang talinya mudah nak putus . Dan kemudian, hilang segan silu nak tempek gambar di laman-laman sosial untuk tontonan umum. Aduhai… rosaknya…




Belajar berkumpulan
Wah, sangat bagus. Boleh berkongsi-kongsi maklumat, bantu rakan yang kurang faham dalam pelajaran. Untuk manfaat bersama. Ya, memang aktiviti yang sihat. Tapi sayangnya, ramai yang jadikan ia tak sihat. Ambil peluang untuk belajar berkumpulan dengan ‘yang tersayang’. Perjumpaan dibuat di waktu malam, walau di tempat terang dan ramai orang, tapi duduknya berdua-duaan, rapat-rapat. Hmmmm…




Kongsi kemudahan
Contohnya, kemudahan pengangkutan tak kiralah kereta atau motor . Yang selalu dilihat, bila rakan lelaki ada pengangkutan, yang perempuannya, ada-ada saja nak minta tolong. Tolong hantar ke situlah, ke marilah, belikan itulah, inilah. Kalau atas sebab yang sangat perlu atau dah tak ada pilihan lain, apa salahnya kan. Ini tidak, sengaja - sengaja cari peluang. Dulu balik dengan bas tak mengapa, bila kawan lelaki ada kereta, eh.. tiba-tiba tiket bas dah habis la pulak. Dulu nak ke bandar naik teksi tak mengapa, tapi tiba-tiba duit tambang tak ada lah pulak. Macam-macam. Ya, memang perempuan tidak dapat tidak, perlu bergantung dengan lelaki tapi bukan begitu caranya, pulak tu tak kena pula tempatnya. Kalau yang bernama suami, itu barulah kena tempatnya.




Mesra dengan rakan sekerja/ sekolej
Memang bagus la bila jadi peramah. Bertanya khabar, berkongsi cerita sesama rakan sekerja/sekolej. Suatu perkembangan yang sihat untuk mengeratkan silaturrahim selagi tahu batas-batasnya. Tapi, tak sihatnya bila suami orang, isteri orang berkongsi cerita sehingga yang berbaur peribadi, keluar makan bersama, berbual tersangat mesra. Rakan-rakan lelaki perempuan bergurau senda, makan semeja, berjalan-jalan sebuah kereta. Alasannya kerana dah anggap sebagai adik, abang, kakak atau rakan rapat. Ramai yang anggap situasi begitu sebagai remeh atau alah, biasalah tu. Sebab banyak benda kita ambil remeh dan biasa itulah menyebabkan banyaknya keruntuhan moral berlaku kini. Yang bergelar pendidik atau bakal pendidik pun sama, tapi tidaklah semua.
Pernah di Ipg saya,sewaktu bertugas untuk pendaftaran pelajar baru, seorang pensyarah lelaki yang sangat dikenali, yang bergelar suami orang, berbual sesuatu yang agak peribadi dgn seorang pensyarah wanita bergelar isteri orang di meja saya. Aduh.. panas telinga dan tak selesa mendengarnya. Bila pensyarah ni perasan saya agak kurang senang dengan perbualannya, lalu katanya.. “tak pe, saya dengan dia ni dah macam adik beradik dah”…. Hmmmm… iye lah encik…

Lagi? Banyak lagi aktiviti-aktiviti yang sihat ni, boleh jadi tak sihat. Fikir-fikirlah sendiri. Apapun, kalau kita sentiasa melatih diri untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang sihat-sihat sahaja, insyaallah sampai ke akhir hasilnya sihat/baik. Kalau selalu buat yang tak sihat pulak, memang mudah sangat la nak jadi tak sihat. Paling mudah, bab makan. Kalau memang kita ni jenis hentam je makan yang berminyak, yang berlemak, minum manis-manis, minum ais selalu, makan sampai semput, alamatnya memang terus la semputnya. Dan tak lama lepas tu, mungkin….. selamat tinggal dunia… Kereta? Kalau selalu lanyak ke hulu ke hilir, tak servis ikut rutinnya, tak lama rosak la jadinya. Manusia? Macam tu juga. Aplikasinya sama… Pilihlah, pilihan di tangan sendiri….

Kehilangan enjin pesawat F5-E.

Satu lagi contoh yang tak sihat, kehilangan enjin pesawat TUDM. Pihak yang sepatutnya mengawal keselamatan, merosak kepercayaan hampir seluruh masyarakat. Pelik juga, barang yang hilang bukan kecil yang mungkin boleh disorok dalam baju, bukan boleh dipikul oleh sepasang, dua pasang atau tiga pasang tangan bahkan perlu prosedur ketat untuk proses keluar masuk. Malah, lebih mengherankan sehingga boleh diseludup ke luar negara. Pulak tu, mana mungkin enjin tu di bawa dengan perahu ikut sungai atau melalui jalan tikus, macam PATI-PATI masuk ke negara ni. Tentunya perlu merentas lapangan terbang atau pelabuhan dan pintu sempadan.Pasti ada perancangan yang rapi dan yang pasti, ia melibatkan jerung-jerung, bukan bilis semata-mata. Alahhh….Mungkin, mereka yang menjaga sempadan negara dan sepanjang perjalanan sewaktu enjin tu nak diseludup keluar, ‘terlelap’ dek ilmu pukau. Ilmu pukau zaman moden barangkali.

Friday, January 1, 2010

Tidur Di Tahun 2009, Bangun di Tahun 2010- Selamat Tahun Baru!!!



Bermula detik 12.01 malam tadi, selamat tinggal tahun 2009, selamat datang 2010. Ada apa dengan tahun baru? Hmmm, macam-macam ada. Kalau perihal sambutannya, tentunya malam tadi sambutannya berlaku di mana-mana sama ada acara rasmi mahupun tidak rasmi, di tempat patut juga tidak patut. Apa yang berlaku di tengah malam sebelum, sewaktu dan selepas sambutan, tentunya ramai sedia maklum, banyak yang kurang baik dari baiknya, banyak yang rosak dari eloknya. Maklumlah, tengah-tengah malam. Kalau kata orang dulu-dulu, waktu malam ni bukan waktu manusia. Jadi kalau dah bukan waktu manusia, faham-faham sajalah. Rasanya, tidak perlulah disebutkan di sini apa yang kurang baiknya, apa yang rosaknya. Yang penting, semoga diri kita, kaum keluarga kita, sanak-saudara kita malah keturunan kita tidak termasuk dalam golongan yang rosak itu. Insyaallah…


     Yang baiknya di tahun baru ini, mungkin ramai yang menanam azam baru. Apa yang diazamkan? Macam –macamlah juga, bergantung pada diri individu itu sendiri. Tapi, sejak dari dulu lagi, ada persoalan pada diri saya mengenai azam tahun baru. Benarkah ramai yang menanam azam baru dan terlaksanakah azam itu?

     Bagi saya, saya lebih suka untuk tidak meletakkan azam untuk satu tahun tersebut. Kalau bagi satu sasaran yang besar memanglah perlu. Tapi , saya lebih suka menggunakan pendekatan menanam azam untuk setiap hari. Setiap hari kita berazam untuk menambah apa yang kurang, memperbaiki mana yang salah, membersihkan mana yang kotor serta menjadi lebih dan lebih baik, terutamanya dari sudut akhlak kerana saya percaya, keindahan akhlak itulah yang lebih penting. Maknanya di sini, kita mengkoreksi diri setiap hari.

     Contohnyalah. Mungkin semalam, kita secara tidak sengaja telah meninggikan suara dengan ibu bapa katakan. Jadi esoknya mungkin kita boleh menanam azam di dalam hati untuk seboleh daya mengawal nada suara sewaktu bercakap dengan ibu bapa atau mungkin sekurang-kurangnya meredakan rasa bersalah kita dengan melakukan apa sahaja yang disuruh ibu bapa, tanpa bantahan, rungutan dan tanpa lengah. Apa sajalah yang boleh dibuat asalkan kita cuba untuk tidak mengulang lagi perangai buruk kita itu untuk esok dan seterusnya.

     Atau, mungkin kita tahu kita panas baran orangnya, atau pentingkan diri sendiri atau ego. Walau sifat-sifat begini memang sangat susah dibuang jika tak bersungguh, tapi apalah salahnya jika kita berusaha mengurangkannya hari demi hari. Sebabnya sifat-sifat begitu tak menguntungkan diri pun. Yang sahnya, sifat begitu mampu mengotorkan hati. Ruginya diri kita sendirilah, bukan orang lain. Kalau kita terus-terusan kekal dengan sifat sebegitu, mungkin banyak perkara baik yang hadir dalam hidup kita akan mudah terlepas atau berlalu, sama ada kita sedar ataupun tidak.

     Apapun, semoga tahun baru 2010 ini memberikan makna dan manfaat untuk kehidupan kita. Buang segala keruh yang terjadi dalam tahun 2009 yang lepas, semoga dapat dijernihkan dalam tahun 2010 ini. Bukan mengharapkan tahun ini menjadi suatu tahun yang sempurna sepenuhnya kerana itu tidak mungkin. Namun, mungkin boleh berharap agar tahun ini lebih sempurna dari tahun sebelumnya. Definisi sempurna itu? Bergantung pada diri masing-masing. Dan cara untuk menzahirkan azam yang ditanam dan kesempurnaan yang diharapkan itu tentunya pelbagai. Pilih yang terbaik dan letakkanlah kesungguhan dalam pilihan yang telah dibuat. Insyaallah...

* Di malam tahun baru, anak-anak merayau berkayuh basikal, remaja berpeleseran lelaki perempuan, tak tentu haluan, tak terjaga pergaulan. Sayang sekali, tanggungan siapakah mereka itu?

Wednesday, December 30, 2009

Siapa Lebih Besar?

Perhambaan manusia tidak lagi berlaku di zaman ini. Kalau ada pun, mungkin termasuk dalam kes terpencil tapi konsep yang sama masih ada iaitu melalui istilah orang gaji, bibik dan pembantu rumah atau tukang cuci mahupun tukang itu, tukang ini. Logiknya, bila menjadi orang gaji, tentunya perlu menurut arahan yang diberikan oleh pihak majikan kerana tarafnya disitu dalam konteks kerjaya adalah lebih rendah dari majikannya. Kalau ingkar arahan majikan, hai..... alamat nak mampus bak kata P. Ramlee.


     Maknanya yang dibawah perlu patuh jika tidak, jadi terbaliklah pula. Orang gaji jadi tuan, majikan jadi hamba. Dalam dunia pekerjaan begitu juga, orang bawahan perlu mengikut arahan orang atasan. Juga dalam keluarga, anak-anak wajib patuh cakap ibu bapa kerana taraf ibu bapa lebih tinggi dari anak-anak, lebih besar tarafnya dari anak-anak walau ibu bapa hanya petani mungkin, berbanding anak yang bergelar peguam contohnya. Atau, ibu bapa tidak berpendidikan tinggi berbanding anak yang berkelulusan universiti. Isteri wajib patuh kepada suami kerana taraf suami lebih besar dengan syarat kepatuhan itu adalah perlu selagi suami tidak menyuruh atau mengamalkan kehidupan bertentangan dengan syariat hidup Islam. Soalnya, taraf. Siapa yang lebih besar, siapa yang lebih kecil. Bila tak sedar akan taraf itu atau sengaja menafikan, itulah yang membawa pada kecelaruan yang berterusan.

     Namun harus diingat dalam konteks hakikat sebenar sebagai manusia, taraf itu sama sekali tidak wujud, tiada yang lebih besar, tiada yang lebih kecil di sisi Allah. Apa yang membezakan hanyalah lebihnya amal yang bermanfaat. Ingat, amal bukannya ilmu. Ilmu yang dimiliki walau seluas lautan tidak bermanfaat tanpa amal yang tulus. Banyaknya ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Tidak guna jika hanya sekadar mahir dalam teori tapi gagal atau lemah dari segi praktikalnya.

     Maknanya disini, tidak kira seseorang manusia itu darjatnya di dunia ini hanyalah sebagai pengangkut sampah, orang gaji, mekanik, tukang sapu malahan dengan kerja yang berprofil tinggi sekalipun seperti jurutera, doktor atau kontraktor, tarafnya sebagai seorang manusia adalah sama disisi Tuhan. Jadi, jangan sekali-kali menghina sesama manusia hatta sesama makhluk walau seseorang itu pada pandangan zahir kita kotor, kurang cantik, kurang putih, kurang cerdik, kerja yang gelarannya tidak terhormat dan bermacam-macam lah lagi kurangnya.

     Adakalanya yang kurang-kurang sebegitulah sebenarnya lebih baik mungkin dari sudut akhlaknya yang terutama atau praktikalnya sebagai manusia berbanding manusia yang dianggap sempurna seperti lebih cantik, lebih putih, lebih terhormat dan sebagainya. Percayalah, ada hikmah yang nyata mahupun tersembunyi di sebalik setiap itu dan tentunya ada pengajaran atau sempadan yang berguna untuk diri bagi setiap kejadian, jika mahu melihat dan berfikir.

Itu persoalan taraf yang dapat dilihat secara nyata. Cuba fikirkan dari aspek ini pula.

     Sering, ramai yang mengaku beragama Islam malah mudahnya mengakui, melontarkan bicara kita sebagai khalifah Allah, kita sebagai hamba Allah, dalam solat melafazkan ikrar Allahuakhbar yang membawa makna Allah Maha Besar. Tapi, benarkah kita, yang mengaku beragama Islam, yang melafazkan ikrar itu sentiasa membesarkan Allah? Membesarkan, mengutamakan Allah dalam kehidupan persinggahan ini? Membesarkan dalam erti kata menurut segala perintahNya tanpa bantahan, rungutan dan mengutamakanNya dalam segala urusan kehidupan?

     Begini, Allah telah menurunkan kepada manusia suatu modul atau garis panduan yang wajib diikuti, diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan melalui kitab umat Islam iaitu Al-Quran. Maka kita yang mengaku dengan bicara-bicara yang tersebut, wajib menerima dan mengamalkan secara keseluruhannya. Bukan dengan patuh kepada hanya beberapa perkara, melaksanakan sedikit perkara yang kecil-kecil sahaja mengikut hukum Islam itupun sekadar-sekadar sahaja lalu dengan bangganya mendabik dada bahawa kita ini Islam, telah hidup dengan cara Islam, telah melaksanakan Islam, tidak segan silu mengakui sebuah negara Islam walhal perkara-perkara besar yang bertentangan dengan perbendaharaan sebuah negara Islam masih terang dan nyata dapat dilihat dimana-mana, jika melihat dengan FAHAM.

     Modul kehidupan Islam, dari segala aspek sama ada perbendaharaan sebuah negara, memilih pemimpin, pemerintahan, perlembagaan, kehakiman, perundangan, sistem pendidikan, pengisian dalam sistem pendidikan meliputi kurikulumnya serta matlamat yang difokus melalui pendidikan, jual beli, pajak gadai, perbankan, hidup berumah tangga, pergaulan seharian, pertuturan, penyediaan dan pemilihan makanan, berpakaian, berhias, bertetangga, keraian, hiburan dan segala-galanya dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara sudah lengkap tatacaranya dalam Islam.

     Justeru, jika kita mengaku beragama Islam, hamba Allah dan khalifah Allah, wajarkah menolak segala garis panduan yang telah diturunkan itu dengan alasan hukum-hakam yang digariskan membataskan cita-cita yang diimpikan untuk dunia masakini, membataskan tuntutan nafsu yang membara untuk bermacam tarikan dan menikmati manisnya dunia atau hukum hakam yang digariskan tidak lagi sesuai dengan perubahan yang berlaku dalam dunia serba moden ini? Maka, kerana difikirkan akan perkara-perkara yang tersebut, maka segala soal hidup yang berkaitan dengan perkara yang tersebut mahupun yang tidak disebut di atas dicedok dari perlembagaan barat, konsep serta tadbir urus barat dalam segala aspek diterima baik untuk dijadikan modul hidup tidak kiralah dari pentadbiran negara, sebuah keluarga malahan untuk diri sendiri kerana tatacara mereka dianggap secocok dan lebih terbuka sesuai dengan atmosfera dunia hari ini.

     Jadi, dengan bermacam-macam alasan yang dicipta untuk menghalalkan alasan-alasan sedemikian maka penolakan terhadap hukum-hakam Islam berlaku sama ada secara perlahan-lahan ataupun secara terus dengan ramai juga yang mengambil pendekatan ’tutup mata’. Dalam erti kata lain, Islam hanya diterima pakai dalam aspek ibadah sahaja manakala lain-lain aspek kehidupan dipisahkan dari Islam oleh manusia yang mengaku umat Islam. Atau, lebih malang lagi Islam hanya sekadar satu gelaran, tidak lebih dari itu.

     Kalau begitu, masihkah kita bertaraf hamba kepada Allah, khalifah Allah dan bernilaikah lagi ikrar Allahuakhbar melalui lafaz dalam solat kita bila kita menolak mentah-mentah garis panduan yang diberikanNya? Bila penolakan yang terang-terangan dilakukan terhadap modul yang diturunkanNya dan kita menerima modul kehidupan yang dicipta dan digubal sendiri oleh manusia, yang dalam banyak perkara bertentangan dengan prinsip Islam yang tulen, maka fikirlah di situ, siapakah yang lebih besar? Konsepnya sama seperti konsep hamba yang diterangkan di atas, orang gaji dan majikan serta orang bawahan dengan orang atasan. Bila kita yang dibawah ingkar dengan arahan dan perintah, tidakkah disitu menyerlahkan perlambangan bahawa kita tidak sedar dengan taraf diri? Tidak membesarkan Allah tetapi membesarkan hukum-hakam ciptaan manusia dan diri sendiri? Tidakkah tunggang terbalik jadinya?

     Tidak sedarkah kita bahawa kita menolak serta mengabaikan perintahNya atas kita, amanahNya atas kita sedang dialah yang memberi rezeki, sedang dialah yang memberi upaya, sedang dialah yang memberi kuasa, sedang dialah yang membangunkan, yang meruntuhkan, sedang dari Dialah segala-galanya? Kita menafikan kehendakNya dan suruhanNya dalam terlalu banyak aspek kehidupan, dari segi yang kecil mahupun yang lebih dan lebih besar sedang segalanya adalah milik Dia dan kita hanya menumpang dibumiNya? Tidak sedarkah itu wahai diri, wahai cerdik pandai, wahai yang tinggi, wahai yang rendah? Jadi bila ini berlaku, maka SIAPA SEBENARNYA YANG LEBIH BESAR?

Semoga difikirkan. Berfikirlah dan pandanglah bermula dengan diri sendiri. Cerminlah dalam diri sendiri barulah menghalakan cermin pada sekeliling atau yang lain-lain. Dan sesudah bercermin, berusahalah untuk memperbaiki mana-mana kekurangan yang dapat dilihat itu.

Friday, December 11, 2009

Tetamu Di Muka Pintu

Rumahku pernah dikunjungi tetamu
Namun bukan tetamu yang ku tunggu
Maaf buat kalian tetamu yang tidak ku tunggu itu
Tak termampu ku buka pintu
Lainlah buat tetamu yang ku tunggu

Pada tika yang tak ku duga
Tetamu yang ku tunggu singgah di muka pintu
Wa’alaikumussalam wahai tetamu yang ku tunggu
Ku bukakan pintu rumahku, belum pernah seluas itu
Silakan masuk ke rumahku, wahai tetamu yang ku tunggu- tunggu

Telah waktu menyusur laju
Tetamu yang ku tunggu tetap di muka pintu
Tidak maju
Tidak juga berlalu

Wahai tetamu yang ku tunggu
Selama kau di muka pintu itu, tidak tidak juga masuk ke rumahku,
Selama itu aku merasa sungguh terganggu
Walau,
Kau memang tetamu yang aku tunggu

Wahai tetamu di muka pintu
Silakan kau pulang, jangan kau masih di situ
Kau membuang masaku membuka pintu
Kau melelahkan jiwaku menunggu
Usah sesekali kau kembali lagi, hanya untuk bertamu di muka pintu

Bila pintu rumahku seakan sebelum hadirmu
Dan bila tamu yang ku tunggu itu mungkin telah berlalu
Tertanya aku,
Tidak pernah diriku bertamu di muka pintu, mengapa harus tetamu yang ku tunggu-tunggu begitu?

Mungkin,
Kau memang tamu yang hanya suka duduk di muka pintu,
Bukan hanya di rumahku

Dan kini,
tetamu yang ku tunggu itu, mungkin bertamu di suatu rumah yang aku tahu….

Saturday, December 5, 2009

PAU AHMAD

Pernah dengar nama Pau Ahmad?
Pernah makan?
Tahu siapa pengusahanya?

Baru-baru ini, sebuah stesen televisyen swasta telah menyiarkan satu dokumentari mengenai bagaimana seorang usahawan Cina boleh berjaya di Malaysia. Usahawan yang ditemubual bukannya pemilik Restoran Khee Seng, bukannya pemilik perusahaan berasaskan makanan Yi Li, bukannya pemilik kedai ikan masin Seng Kee atau pengeluar produk T.C Boy tetapi adalah pengusaha Pau Ahmad. Eh, Pau Ahmad? Cina ke?



Ya, ia dimiliki oleh pengusaha Cina yang bukan beragama Islam dan bermula dari Ahli Lembaga Pengarah sehinggalah kepada pekerja bawahannya, semuanya berbangsa Cina.

Pau Ahmad menggunakan perlambangan seperti kubah masjid beserta tulisan jawi yang mirip perlambangan Islam. Motif diletakkan perlambangan sedemikian rupa tentunya dengan niat untuk mengaburi mata pembeli sasaran utama iaitu pembeli yang beragama Islam. Apabila pemiliknya ditanya, bagaimana untuk berjaya? Dijawabnya, untuk berjaya di Malaysia ni ’simple’ je. Kena ’produce’ produk yang dapat status halal. Penduduk di sini ramai Islam. Kenapa menggunakan nama Pau Ahmad? Jawabnya, senang nak ingat nama dan ia adalah nama Islam.

Tahukah anda juga, ada produk makanan yang mengandungi bahan yang haram di makan orang Islam tetapi memiliki logo halal pada pek pembungkusannya. Logo halal itu bukan keluaran JAKIM. Apa alasan yang diberikan pengeluarnya? Dengan selamba dia menjawab, ingatkan semua produk perlu diletakkan logo halal. Logikkah seorang pengeluar produk makanan yang meluas pasarannya, memberi alasan tidak tahu syarat-syarat pengeluaran sesuatu produk? Maka, berhati-hatilah dalam memilih.

Dalam kes Pau Ahmad, saya percaya ramai yang tertipu dan percaya bahawa Pau Ahmad milik orang Islam dek keislaman namanya. Saya juga percaya, ada yang memang telah tahu Pau Ahmad bukan milik Islam tetapi masih tidak ragu-ragu menikmatinya. Saya juga tahu, memang ramai orang Islam yang makan di kedai milik bukan Islam.

Itu, biarkan mereka kerana mereka sendiri dengan rela mengkhianati hak tubuh badan mereka. Kenapa digelar khianat? Kerana garis panduan memilih makanan ada dalam Islam. Itulah hak tubuh badan dari segi makanan iaitu menerima makanan selari dengan garis panduan yang ada. Jika diabaikan, maka itulah digelar mengkhianati hak tubuh badan.

Bagi saya, tidak salah kiranya mereka berminat untuk menggunakan nama mirip Islam atau Melayu untuk perusahaan menjual kenderaan barangkali, barangan elektrik atau pasaraya tetapi JANGAN SEKALI-KALI pada perusahaan makanan. Mengapa? Kerana, soal makanan jangan dibuat mainan. Kebersihan itu mungkin senang dicari namun kesucian itu yang sukar. Dan bagi yang beragama Islam, kesucian makanan itulah yang lebih utama kerana ia membentuk darah daging.

Darah daging yang terbina dari pemakanan yang bersih dan suci akan membentuk hati dan fikiran yang sempurna. Jika sebaliknya, ia akan menggelapkan hati dari menerima dan melihat cahaya kebenaran. Akibatnya, yang buruk dikata cantik, yang busuk dikata wangi, yang hitam dikata putih. Ahli sufi, demi menjaga kesucian makanan yang masuk ke dalam tubuh badan, mereka tidak makan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang yang tidak bersembahyang. Inikan pula oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Terfikir juga saya, adakah kebenaran diberikan untuk menggunakan nama Islam kepada pengeluar produk makanan milik bukan Islam adalah atas tiket perpaduan? Mungkin ya, mungkin tidak. Tapi, adakah untuk membina perpaduan, kita harus merendahkan apa yang patut ditinggikan, melepaskan apa yang patut dipegang, merelakan apa yang tidak patut direlakan, mengabaikan apa yang patut dijaga malah ibaratnya sehingga makan sepinggan, tidur sebantal?

Inilah yang terjadi bila hanya sebelah pihak sahaja yang ibaratnya terhegeh-hegeh memupuk, membina perpaduan sedangkan sebelah pihak lagi bertindak mengambil kesempatan atas rasa ’bersih hati’ pihak yang terhegeh-hegeh untuk bersatu itu. Saya bukan tidak menyokong perpaduan tetapi untuk membina perpaduan antara Islam dan bukan Islam ada cara dan syarat-syarat yang WAJIB dipatuhi.

Namun, jika berbicara usaha membina perpaduan secara umum, agenda membina perpaduan di negara ini kini digalas oleh Gagasan 1Malaysia. Mampukah gagasan ini direalisasi atau hanya mampu menjadi suatu manifesto politik yang bakal sepi dan berganti-ganti temanya seiring turun naiknya Menteri Perdana?

Apapun, buka mata + tuluskan hati + pandang + lihat + fikir + tafsir

Moga tidak hanya menang sorak tapi kampung tergadai, bimbang akhirnya berdagang di bumi sendiri!



* Sekalung tahniah kepada pihak yang memberi kelulusan penggunaan nama Pau Ahmad dan lain-lain produk yang mendatangkan kekeliruan kepada pengguna Islam kerana anda mengumpul 'saham' yang banyak untuk timbangan di akhirat kelak. Saham apa? Saham dari mereka yang kesal, menyesal dan merasa tertipu dengan memakan produk-produk tersebut tanpa ragu, tanpa was-was kerana menyangka ia keluaran Islam sesuai namanya. Tahniah3....