CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, January 10, 2010

Kata Orang Tua-Tua



Kalau rajin berborak dengan orang tua, mendengar cerita mereka atau sekurangnya ambil tahu sedikit sebanyak pengalaman hidup mereka, tentu banyak pengajaran yang diperoleh. Betul kata pepatah, mereka lebih dahulu makan garam yang maknanya, pengalaman mereka dalam kehidupan tentu lebih banyak. Mana yang elok bolehlah diambil jadi panduan, yang tak elok tu jadikan sempadan.


Saya percaya, anak-anak muda zaman sekarang tentu dah ramai yang lupakan pesan-pesan orang tua kerana telah disetkan dalam minda masing-masing, yang lama-lama tak sesuai lagi untuk zaman serba moden ni. Kolot dan ketinggalan zaman. Memang, ada yang sudah kurang sesuai untuk dipraktikkan sekarang tapi tetap ada yang boleh digunapakai. Pandai-pandailah aplikasi untuk mana-mana situasi yang sesuai.

Orang Melayu terkenal dengan pepatah, kiasan atau perumpamaan apabila berbicara. Semua itu warisan nenek moyang kita. Tujuan mereka pelbagai. Di situ juga letaknya kesantunan dan halusnya bahasa Melayu. Apa yang pasti, jika difahami sebenarnya, penggunaan pepatah, kiasan dan sebagainya adalah satu pendekatan dari segi psikologi. Orang tua dahulu psikologinya tinggi walau mereka sebenarnya mungkin tidak tahu pun pendekatan yang mereka gunakan adalah pendekatan psikologi. Saya selalu dipesan, kalau orang tua cakap, jangan kita membantah. Tujuan disuruh tidak membantah itu supaya kita dapat melatih diri untuk menghormati orang lain terutamanya yang lebih tua, tidak meninggi diri atau sekurang-kurangnya berfikir akan apa yang dikatakan itu. Kalau benar dan elok, pakailah, kalau tidak, abaikanlah. Tak rugi apa-apa pun kan.

Lihat yang berikut, beberapa contoh kiasan yang digunakan orang tua-tua dan psikologi disebaliknya :

  •  Anak dara jangan menyanyi di dapur, nanti dapat suami tua
Ada yang mungkin menjawab, “ Ala, aku menyanyi kat dapur,dapat je suami muda. Muda dari aku lagi..” Memang, itu soal jodoh. Tapi sebenarnya itu satu bentuk teguran yang mungkin mampu menghentikan terus tabiat anak-anak dara yang suka menyanyi di dapur. Sebabnya, pasti anak-anak dara takut kalau dapat suami tua, yang dah bertongkat, yang dah berkedut kulitnya.

Sebenarnya, bukankah langsung tak manis anak dara menyanyi sewaktu memasak atau ketika melakukan kerja-kerja dapur? Bila khusyuk sangat menyanyi tu, kerja yang cepat boleh jadi lambat. Silap-silap boleh hangus gulai ataupun tersembur air liur dalam gulai waktu semangat menyanyi terutama bahagian ‘chorus’. Dah tak pasal-pasal masuk perasa tambahan dalam gulai. Juga, bila dah menjadi kebiasaan menyanyi di dapur, mungkin bila ada tetamu berkunjung pun, secara tak sengaja akan menyanyi. Tak ke malu mak bapak bila anak-anak kurang adab? Menyanyi dalam bilik air pun tak elok tapi ramai juga yang jadikan amalan…

  • Jangan duduk atas bantal, nanti bisul punggung
Cuba duduk atas bantal. Bisul tak punggung? Haa, siapa yang bernasib baik, bisul lah punggungnya. Huhuhu…Sebenarnya, yang selalu duduk atas bantal ni budak-budak. Jadi, takkan nak diterangkan panjang lebar pada budak tu, tak elok duduk atas bantal. Bantal tu tempat letak kepala. Kepala ni tarafnya mulia, takkan nak disamakan letaknya dengan punggung. Tak ke membuang masa menerangkan pada budak-budak kecil panjang lebar begitu? Dah habis penerangan, tanya mereka faham ke? Kalau angguk, untunglah tapi rasanya ramai yang menggeleng. Tak pun, angguk tapi sebenarnya tak faham.

Maka, orang tua-tua ni kreatifnya mereka, dikhabarkan pada budak-budak jika duduk di atas bantal nanti bisul. Haaa, kalau bisul, nak duduk susah, pakai seluar susah, sakit. Jadi, takut la budak-budak tu dan tabiat duduk atas bantal pun dapat dihapuskan. Itulah psikologinya.

  • Jangan bangun meninggi hari, nanti lambat dapat jodoh
Sekarang ni, ramai betul yang bangun pagi tapi dah tak pagi pun sebenarnya. Sarapan pagi kononnya, padahal dah boleh dikira makan tengahari. Sembahyang subuh pukul 7 ke atas. Sembahyang apa macam tu? Ataupun senang boleh terus buat sembahyang Duha kot? Hmmmm….

Kiasan ini pun satu. Tentu ramai yang susah nak percaya. Sebabnya, ramai je yang bangun meninggi hari tapi cepat saja kahwinnya. Malah, ada yang lagi cepat dari orang yang bangun gelap-gelap pagi. Jodoh itu urusan Allah. Cuma, tak elok la bangun meninggi hari. Mak dah siapkan makan pagi, kita baru terhegeh-hegeh nak mandi lepas tu bersila je makan. Amboiiii, banyak cantik…. Orang lain dah boleh siapkan macam-macam kerja, kita baru nak celik mata. Rugi tau. Kalau yang tahu memilih, mungkin tidak mahu yang tabiatnya begitu sebab nanti, banyak yang tak terurus, banyak yang tunggang-langgang.

Psikologinya? Itulah, kalau nak dibebel panjang-panjang pada anak-anak yang dah besar, tentu macam-macam jawabnya, liat je telinga nak mendengar sebab masing-masing rasa dah besar, dah pandai fikir sendiri. Macam la semua dah betul sampai tak boleh ditegur. Senangnya, orang tua gunakan kiasan lambat dapat jodoh. Mudah sikit nak bangun agaknya. Takuuuuttttt kahwin lambat…..

Banyak lagi contoh-contoh, terlalu banyak untuk dihuraikan disini. Apapun,

Kadang-kadang kita tak sedar apa yang kita sudah miliki/warisi sebenarnya lebih baik atau lebih berharga dari yang sibuk kita kejarkan. Kita memandang budaya-budaya atau peradaban yang dimiliki oleh bangsa lain atau budaya lain terutamanya yang datang dari barat, sebagai suatu yang lebih bersifat moden dan patut dibanggakan. Hal itu terjadi kerana minda kita telah berjaya diprogramkan untuk menyanjung apa sahaja yang dipromosikan mereka melalui pelbagai media yang besar pengaruhnya, terutama tv. Dan asakan minda kita untuk tujuan itu berlaku setiap saat di mana-mana sahaja lebih-lebih lagi dengan kemajuan teknologi kini. Hasilnya, kita buang hak milik kita, kita pinjam dan pakai milik orang. Lalu, bangga tak tentu pasal dengan yang dipinjam itu.

Anak-anak bangsa Melayu khasnya menjadi buta dan malu akan warisan adab budaya bangsa sendiri dan akhirnya kesantunan, keindahan ,peradaban dan jati diri bangsa Melayu semakin pudar dan kelam. Jika fenomena ini dibiarkan berterusan,tidak mustahil generasi Melayu yang tinggal nanti hanya menyandang gelaran Melayu. Nama sahaja bangsa Melayu tapi kosong dari segi pengisian sebenar bangsa Melayu. Saya menulis bukan berniat menjadi pejuang bangsa tapi saya menyayangi warisan bangsa.

0 comments: