Bermula detik 12.01 malam tadi, selamat tinggal tahun 2009, selamat datang 2010. Ada apa dengan tahun baru? Hmmm, macam-macam ada. Kalau perihal sambutannya, tentunya malam tadi sambutannya berlaku di mana-mana sama ada acara rasmi mahupun tidak rasmi, di tempat patut juga tidak patut. Apa yang berlaku di tengah malam sebelum, sewaktu dan selepas sambutan, tentunya ramai sedia maklum, banyak yang kurang baik dari baiknya, banyak yang rosak dari eloknya. Maklumlah, tengah-tengah malam. Kalau kata orang dulu-dulu, waktu malam ni bukan waktu manusia. Jadi kalau dah bukan waktu manusia, faham-faham sajalah. Rasanya, tidak perlulah disebutkan di sini apa yang kurang baiknya, apa yang rosaknya. Yang penting, semoga diri kita, kaum keluarga kita, sanak-saudara kita malah keturunan kita tidak termasuk dalam golongan yang rosak itu. Insyaallah…
Yang baiknya di tahun baru ini, mungkin ramai yang menanam azam baru. Apa yang diazamkan? Macam –macamlah juga, bergantung pada diri individu itu sendiri. Tapi, sejak dari dulu lagi, ada persoalan pada diri saya mengenai azam tahun baru. Benarkah ramai yang menanam azam baru dan terlaksanakah azam itu?
Bagi saya, saya lebih suka untuk tidak meletakkan azam untuk satu tahun tersebut. Kalau bagi satu sasaran yang besar memanglah perlu. Tapi , saya lebih suka menggunakan pendekatan menanam azam untuk setiap hari. Setiap hari kita berazam untuk menambah apa yang kurang, memperbaiki mana yang salah, membersihkan mana yang kotor serta menjadi lebih dan lebih baik, terutamanya dari sudut akhlak kerana saya percaya, keindahan akhlak itulah yang lebih penting. Maknanya di sini, kita mengkoreksi diri setiap hari.
Contohnyalah. Mungkin semalam, kita secara tidak sengaja telah meninggikan suara dengan ibu bapa katakan. Jadi esoknya mungkin kita boleh menanam azam di dalam hati untuk seboleh daya mengawal nada suara sewaktu bercakap dengan ibu bapa atau mungkin sekurang-kurangnya meredakan rasa bersalah kita dengan melakukan apa sahaja yang disuruh ibu bapa, tanpa bantahan, rungutan dan tanpa lengah. Apa sajalah yang boleh dibuat asalkan kita cuba untuk tidak mengulang lagi perangai buruk kita itu untuk esok dan seterusnya.
Atau, mungkin kita tahu kita panas baran orangnya, atau pentingkan diri sendiri atau ego. Walau sifat-sifat begini memang sangat susah dibuang jika tak bersungguh, tapi apalah salahnya jika kita berusaha mengurangkannya hari demi hari. Sebabnya sifat-sifat begitu tak menguntungkan diri pun. Yang sahnya, sifat begitu mampu mengotorkan hati. Ruginya diri kita sendirilah, bukan orang lain. Kalau kita terus-terusan kekal dengan sifat sebegitu, mungkin banyak perkara baik yang hadir dalam hidup kita akan mudah terlepas atau berlalu, sama ada kita sedar ataupun tidak.
Apapun, semoga tahun baru 2010 ini memberikan makna dan manfaat untuk kehidupan kita. Buang segala keruh yang terjadi dalam tahun 2009 yang lepas, semoga dapat dijernihkan dalam tahun 2010 ini. Bukan mengharapkan tahun ini menjadi suatu tahun yang sempurna sepenuhnya kerana itu tidak mungkin. Namun, mungkin boleh berharap agar tahun ini lebih sempurna dari tahun sebelumnya. Definisi sempurna itu? Bergantung pada diri masing-masing. Dan cara untuk menzahirkan azam yang ditanam dan kesempurnaan yang diharapkan itu tentunya pelbagai. Pilih yang terbaik dan letakkanlah kesungguhan dalam pilihan yang telah dibuat. Insyaallah...
* Di malam tahun baru, anak-anak merayau berkayuh basikal, remaja berpeleseran lelaki perempuan, tak tentu haluan, tak terjaga pergaulan. Sayang sekali, tanggungan siapakah mereka itu?


0 comments:
Post a Comment