CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, December 30, 2009

Siapa Lebih Besar?

Perhambaan manusia tidak lagi berlaku di zaman ini. Kalau ada pun, mungkin termasuk dalam kes terpencil tapi konsep yang sama masih ada iaitu melalui istilah orang gaji, bibik dan pembantu rumah atau tukang cuci mahupun tukang itu, tukang ini. Logiknya, bila menjadi orang gaji, tentunya perlu menurut arahan yang diberikan oleh pihak majikan kerana tarafnya disitu dalam konteks kerjaya adalah lebih rendah dari majikannya. Kalau ingkar arahan majikan, hai..... alamat nak mampus bak kata P. Ramlee.


     Maknanya yang dibawah perlu patuh jika tidak, jadi terbaliklah pula. Orang gaji jadi tuan, majikan jadi hamba. Dalam dunia pekerjaan begitu juga, orang bawahan perlu mengikut arahan orang atasan. Juga dalam keluarga, anak-anak wajib patuh cakap ibu bapa kerana taraf ibu bapa lebih tinggi dari anak-anak, lebih besar tarafnya dari anak-anak walau ibu bapa hanya petani mungkin, berbanding anak yang bergelar peguam contohnya. Atau, ibu bapa tidak berpendidikan tinggi berbanding anak yang berkelulusan universiti. Isteri wajib patuh kepada suami kerana taraf suami lebih besar dengan syarat kepatuhan itu adalah perlu selagi suami tidak menyuruh atau mengamalkan kehidupan bertentangan dengan syariat hidup Islam. Soalnya, taraf. Siapa yang lebih besar, siapa yang lebih kecil. Bila tak sedar akan taraf itu atau sengaja menafikan, itulah yang membawa pada kecelaruan yang berterusan.

     Namun harus diingat dalam konteks hakikat sebenar sebagai manusia, taraf itu sama sekali tidak wujud, tiada yang lebih besar, tiada yang lebih kecil di sisi Allah. Apa yang membezakan hanyalah lebihnya amal yang bermanfaat. Ingat, amal bukannya ilmu. Ilmu yang dimiliki walau seluas lautan tidak bermanfaat tanpa amal yang tulus. Banyaknya ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Tidak guna jika hanya sekadar mahir dalam teori tapi gagal atau lemah dari segi praktikalnya.

     Maknanya disini, tidak kira seseorang manusia itu darjatnya di dunia ini hanyalah sebagai pengangkut sampah, orang gaji, mekanik, tukang sapu malahan dengan kerja yang berprofil tinggi sekalipun seperti jurutera, doktor atau kontraktor, tarafnya sebagai seorang manusia adalah sama disisi Tuhan. Jadi, jangan sekali-kali menghina sesama manusia hatta sesama makhluk walau seseorang itu pada pandangan zahir kita kotor, kurang cantik, kurang putih, kurang cerdik, kerja yang gelarannya tidak terhormat dan bermacam-macam lah lagi kurangnya.

     Adakalanya yang kurang-kurang sebegitulah sebenarnya lebih baik mungkin dari sudut akhlaknya yang terutama atau praktikalnya sebagai manusia berbanding manusia yang dianggap sempurna seperti lebih cantik, lebih putih, lebih terhormat dan sebagainya. Percayalah, ada hikmah yang nyata mahupun tersembunyi di sebalik setiap itu dan tentunya ada pengajaran atau sempadan yang berguna untuk diri bagi setiap kejadian, jika mahu melihat dan berfikir.

Itu persoalan taraf yang dapat dilihat secara nyata. Cuba fikirkan dari aspek ini pula.

     Sering, ramai yang mengaku beragama Islam malah mudahnya mengakui, melontarkan bicara kita sebagai khalifah Allah, kita sebagai hamba Allah, dalam solat melafazkan ikrar Allahuakhbar yang membawa makna Allah Maha Besar. Tapi, benarkah kita, yang mengaku beragama Islam, yang melafazkan ikrar itu sentiasa membesarkan Allah? Membesarkan, mengutamakan Allah dalam kehidupan persinggahan ini? Membesarkan dalam erti kata menurut segala perintahNya tanpa bantahan, rungutan dan mengutamakanNya dalam segala urusan kehidupan?

     Begini, Allah telah menurunkan kepada manusia suatu modul atau garis panduan yang wajib diikuti, diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan melalui kitab umat Islam iaitu Al-Quran. Maka kita yang mengaku dengan bicara-bicara yang tersebut, wajib menerima dan mengamalkan secara keseluruhannya. Bukan dengan patuh kepada hanya beberapa perkara, melaksanakan sedikit perkara yang kecil-kecil sahaja mengikut hukum Islam itupun sekadar-sekadar sahaja lalu dengan bangganya mendabik dada bahawa kita ini Islam, telah hidup dengan cara Islam, telah melaksanakan Islam, tidak segan silu mengakui sebuah negara Islam walhal perkara-perkara besar yang bertentangan dengan perbendaharaan sebuah negara Islam masih terang dan nyata dapat dilihat dimana-mana, jika melihat dengan FAHAM.

     Modul kehidupan Islam, dari segala aspek sama ada perbendaharaan sebuah negara, memilih pemimpin, pemerintahan, perlembagaan, kehakiman, perundangan, sistem pendidikan, pengisian dalam sistem pendidikan meliputi kurikulumnya serta matlamat yang difokus melalui pendidikan, jual beli, pajak gadai, perbankan, hidup berumah tangga, pergaulan seharian, pertuturan, penyediaan dan pemilihan makanan, berpakaian, berhias, bertetangga, keraian, hiburan dan segala-galanya dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara sudah lengkap tatacaranya dalam Islam.

     Justeru, jika kita mengaku beragama Islam, hamba Allah dan khalifah Allah, wajarkah menolak segala garis panduan yang telah diturunkan itu dengan alasan hukum-hakam yang digariskan membataskan cita-cita yang diimpikan untuk dunia masakini, membataskan tuntutan nafsu yang membara untuk bermacam tarikan dan menikmati manisnya dunia atau hukum hakam yang digariskan tidak lagi sesuai dengan perubahan yang berlaku dalam dunia serba moden ini? Maka, kerana difikirkan akan perkara-perkara yang tersebut, maka segala soal hidup yang berkaitan dengan perkara yang tersebut mahupun yang tidak disebut di atas dicedok dari perlembagaan barat, konsep serta tadbir urus barat dalam segala aspek diterima baik untuk dijadikan modul hidup tidak kiralah dari pentadbiran negara, sebuah keluarga malahan untuk diri sendiri kerana tatacara mereka dianggap secocok dan lebih terbuka sesuai dengan atmosfera dunia hari ini.

     Jadi, dengan bermacam-macam alasan yang dicipta untuk menghalalkan alasan-alasan sedemikian maka penolakan terhadap hukum-hakam Islam berlaku sama ada secara perlahan-lahan ataupun secara terus dengan ramai juga yang mengambil pendekatan ’tutup mata’. Dalam erti kata lain, Islam hanya diterima pakai dalam aspek ibadah sahaja manakala lain-lain aspek kehidupan dipisahkan dari Islam oleh manusia yang mengaku umat Islam. Atau, lebih malang lagi Islam hanya sekadar satu gelaran, tidak lebih dari itu.

     Kalau begitu, masihkah kita bertaraf hamba kepada Allah, khalifah Allah dan bernilaikah lagi ikrar Allahuakhbar melalui lafaz dalam solat kita bila kita menolak mentah-mentah garis panduan yang diberikanNya? Bila penolakan yang terang-terangan dilakukan terhadap modul yang diturunkanNya dan kita menerima modul kehidupan yang dicipta dan digubal sendiri oleh manusia, yang dalam banyak perkara bertentangan dengan prinsip Islam yang tulen, maka fikirlah di situ, siapakah yang lebih besar? Konsepnya sama seperti konsep hamba yang diterangkan di atas, orang gaji dan majikan serta orang bawahan dengan orang atasan. Bila kita yang dibawah ingkar dengan arahan dan perintah, tidakkah disitu menyerlahkan perlambangan bahawa kita tidak sedar dengan taraf diri? Tidak membesarkan Allah tetapi membesarkan hukum-hakam ciptaan manusia dan diri sendiri? Tidakkah tunggang terbalik jadinya?

     Tidak sedarkah kita bahawa kita menolak serta mengabaikan perintahNya atas kita, amanahNya atas kita sedang dialah yang memberi rezeki, sedang dialah yang memberi upaya, sedang dialah yang memberi kuasa, sedang dialah yang membangunkan, yang meruntuhkan, sedang dari Dialah segala-galanya? Kita menafikan kehendakNya dan suruhanNya dalam terlalu banyak aspek kehidupan, dari segi yang kecil mahupun yang lebih dan lebih besar sedang segalanya adalah milik Dia dan kita hanya menumpang dibumiNya? Tidak sedarkah itu wahai diri, wahai cerdik pandai, wahai yang tinggi, wahai yang rendah? Jadi bila ini berlaku, maka SIAPA SEBENARNYA YANG LEBIH BESAR?

Semoga difikirkan. Berfikirlah dan pandanglah bermula dengan diri sendiri. Cerminlah dalam diri sendiri barulah menghalakan cermin pada sekeliling atau yang lain-lain. Dan sesudah bercermin, berusahalah untuk memperbaiki mana-mana kekurangan yang dapat dilihat itu.

0 comments: