CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, December 5, 2009

PAU AHMAD

Pernah dengar nama Pau Ahmad?
Pernah makan?
Tahu siapa pengusahanya?

Baru-baru ini, sebuah stesen televisyen swasta telah menyiarkan satu dokumentari mengenai bagaimana seorang usahawan Cina boleh berjaya di Malaysia. Usahawan yang ditemubual bukannya pemilik Restoran Khee Seng, bukannya pemilik perusahaan berasaskan makanan Yi Li, bukannya pemilik kedai ikan masin Seng Kee atau pengeluar produk T.C Boy tetapi adalah pengusaha Pau Ahmad. Eh, Pau Ahmad? Cina ke?



Ya, ia dimiliki oleh pengusaha Cina yang bukan beragama Islam dan bermula dari Ahli Lembaga Pengarah sehinggalah kepada pekerja bawahannya, semuanya berbangsa Cina.

Pau Ahmad menggunakan perlambangan seperti kubah masjid beserta tulisan jawi yang mirip perlambangan Islam. Motif diletakkan perlambangan sedemikian rupa tentunya dengan niat untuk mengaburi mata pembeli sasaran utama iaitu pembeli yang beragama Islam. Apabila pemiliknya ditanya, bagaimana untuk berjaya? Dijawabnya, untuk berjaya di Malaysia ni ’simple’ je. Kena ’produce’ produk yang dapat status halal. Penduduk di sini ramai Islam. Kenapa menggunakan nama Pau Ahmad? Jawabnya, senang nak ingat nama dan ia adalah nama Islam.

Tahukah anda juga, ada produk makanan yang mengandungi bahan yang haram di makan orang Islam tetapi memiliki logo halal pada pek pembungkusannya. Logo halal itu bukan keluaran JAKIM. Apa alasan yang diberikan pengeluarnya? Dengan selamba dia menjawab, ingatkan semua produk perlu diletakkan logo halal. Logikkah seorang pengeluar produk makanan yang meluas pasarannya, memberi alasan tidak tahu syarat-syarat pengeluaran sesuatu produk? Maka, berhati-hatilah dalam memilih.

Dalam kes Pau Ahmad, saya percaya ramai yang tertipu dan percaya bahawa Pau Ahmad milik orang Islam dek keislaman namanya. Saya juga percaya, ada yang memang telah tahu Pau Ahmad bukan milik Islam tetapi masih tidak ragu-ragu menikmatinya. Saya juga tahu, memang ramai orang Islam yang makan di kedai milik bukan Islam.

Itu, biarkan mereka kerana mereka sendiri dengan rela mengkhianati hak tubuh badan mereka. Kenapa digelar khianat? Kerana garis panduan memilih makanan ada dalam Islam. Itulah hak tubuh badan dari segi makanan iaitu menerima makanan selari dengan garis panduan yang ada. Jika diabaikan, maka itulah digelar mengkhianati hak tubuh badan.

Bagi saya, tidak salah kiranya mereka berminat untuk menggunakan nama mirip Islam atau Melayu untuk perusahaan menjual kenderaan barangkali, barangan elektrik atau pasaraya tetapi JANGAN SEKALI-KALI pada perusahaan makanan. Mengapa? Kerana, soal makanan jangan dibuat mainan. Kebersihan itu mungkin senang dicari namun kesucian itu yang sukar. Dan bagi yang beragama Islam, kesucian makanan itulah yang lebih utama kerana ia membentuk darah daging.

Darah daging yang terbina dari pemakanan yang bersih dan suci akan membentuk hati dan fikiran yang sempurna. Jika sebaliknya, ia akan menggelapkan hati dari menerima dan melihat cahaya kebenaran. Akibatnya, yang buruk dikata cantik, yang busuk dikata wangi, yang hitam dikata putih. Ahli sufi, demi menjaga kesucian makanan yang masuk ke dalam tubuh badan, mereka tidak makan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang yang tidak bersembahyang. Inikan pula oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Terfikir juga saya, adakah kebenaran diberikan untuk menggunakan nama Islam kepada pengeluar produk makanan milik bukan Islam adalah atas tiket perpaduan? Mungkin ya, mungkin tidak. Tapi, adakah untuk membina perpaduan, kita harus merendahkan apa yang patut ditinggikan, melepaskan apa yang patut dipegang, merelakan apa yang tidak patut direlakan, mengabaikan apa yang patut dijaga malah ibaratnya sehingga makan sepinggan, tidur sebantal?

Inilah yang terjadi bila hanya sebelah pihak sahaja yang ibaratnya terhegeh-hegeh memupuk, membina perpaduan sedangkan sebelah pihak lagi bertindak mengambil kesempatan atas rasa ’bersih hati’ pihak yang terhegeh-hegeh untuk bersatu itu. Saya bukan tidak menyokong perpaduan tetapi untuk membina perpaduan antara Islam dan bukan Islam ada cara dan syarat-syarat yang WAJIB dipatuhi.

Namun, jika berbicara usaha membina perpaduan secara umum, agenda membina perpaduan di negara ini kini digalas oleh Gagasan 1Malaysia. Mampukah gagasan ini direalisasi atau hanya mampu menjadi suatu manifesto politik yang bakal sepi dan berganti-ganti temanya seiring turun naiknya Menteri Perdana?

Apapun, buka mata + tuluskan hati + pandang + lihat + fikir + tafsir

Moga tidak hanya menang sorak tapi kampung tergadai, bimbang akhirnya berdagang di bumi sendiri!



* Sekalung tahniah kepada pihak yang memberi kelulusan penggunaan nama Pau Ahmad dan lain-lain produk yang mendatangkan kekeliruan kepada pengguna Islam kerana anda mengumpul 'saham' yang banyak untuk timbangan di akhirat kelak. Saham apa? Saham dari mereka yang kesal, menyesal dan merasa tertipu dengan memakan produk-produk tersebut tanpa ragu, tanpa was-was kerana menyangka ia keluaran Islam sesuai namanya. Tahniah3....

0 comments: