Kita semua, dari segi hakikatnya hidup dalam aturan Allah S.W.T. Setiap dari kita sebenarnya memiliki sifat-sifat negatif, positif serta kebolehan-kebolehan pelbagai yang dapat kita lihat terzahir melalui perlakuan manusia di sekeliling kita. Anda persoal, kalau begitu, mengapa diri anda tidak pandai berdebat sedangkan si polan pandai berdebat?mengapa anda tidak boleh berlari pantas sedangkan si polan berlari bagaikan lipas kudung? Mengapa si polan pandai menggubah bunga, mengapa anda tidak? Begini jawapannya.
Cuba anda ibaratkan anda diberikan telur, tepung, gula dan mentega iaitu bahan asas untuk membuat kuih. Apabila dicampurkan kesemua adunan tersebut, ia akan menjadi satu doh yang sama tetapi anda punya pilihan untuk mencampurkan doh itu mengikut kesukaan dan kemampuan anda. Jika anda tambahkan adunan itu dengan susu katakan serta beberapa bahan lain, anda pukul ia sebati, maka ia akan menjadi kek cawan jika diletakkan dalam acuan kek cawan. Jika anda memilih untuk mencampurkan adunan tersebut dengan ikan bilis mahupun udang, ditambah sedikit garam, potongan kentang dan bawang, mengenepikan gula dan menggunakan tambahan mentega ketika menggoreng, nah ia akan menjadi cucur bilis, atau udang. Bahan asasnya sama bukan? Dan bahan-bahan yang mampu anda campurkan ke dalam adunan tersebut tentu sekali bergantung kepada persekitaran di mana anda berada. Andai kata anda tinggal di kawasan kampung, kekurangan sumber kewangan, anda mungkin hanya mampu untuk menambahkan kelapa semata dalam adunan tersebut menjadi lempeng manakala bagi yang tinggal di bandar, dengan pelbagai kemudahan dan kesenangan, mampu untuk mengadun adunan tadi dengan pelbagai bahan tambahan yang mungkin mampu menghasilkan sebiji kek 'chocolate moise'.
Begitulah dengan diri kita. Persekitaran kita membesar, didikan serta pendedahan yang diberikan ibu bapa,keyakinan diri kita sendiri serta pelbagai lagi unsur lain yang hadir dalam hidup kita ibaratnya sebagai paduan unsur2, baik atau buruk, membentuk suatu adunan yang mana hasilnya adalah diri kita ketika ini. Si polan menjadi menteri kerana paduan unsur sekian-sekian dalam persekitaran hidupnya, si polan menjadi tukang sapu kerana paduan unsur sekian-sekian dalam hidupnya. Pada hakikatnya, unsur asas yang dimiliki adalah sama tetapi apabila melalui paduan unsur tambahan, maka cara penzahirannya adalah berbeza. Namun, apa yang indahnya, kesemua yang terzahir itu dapat kita nikmati dan hargai serta memenuhi selera serta keperluan setiap makhluk walau citarasa serta keperluan setiap dari kita tidak lah sama. Mungkin ramai yang tidak menyukai lempeng tetapi tetap ada penggemarnya, ada yang menggemari cucur udang tetapi tidak menggemari lempeng malah mungkin tidak juga menggemari cucur bilis. Dan si penggemar lempeng pula belum tentu menggemari cucur udang walau bahannya lebih mewah dari adunan lempeng itu sendiri dan mungkin juga ada pula yang menggemari kesemuanya.
Begitulah juga dalam konteks manusia, kita semua datang dari unsur yang sama, Cuma penzahiran kita berbeza-beza. Ada yang menjadi ketua, tidak menghargai pekerja bawahannya, pekerja bawahan tidak pula menghormati ketua namun ada juga yang saling menghormati. Hidup adalah indah andai kita semua saling-menghargai, menghormati dan tahu ‘melakonkan’ watak masing-masing mengikut skrip yang telah tertulis. Lakonkanlah peranan masing-masing sebaiknya menurut arahan ‘pengarah cerita’ kerana pengarah tentu akan marah kiranya para pelakonnya tidak berlakon menurut keiginannya dan arahannya. Kalau rasa bimbang tersalah lakonan atau terlupa jalan cerita, rujuklah buku skrip yang diberi pengarah sewaktu anda mula2 bersetuju menjadi pelakon di bawah arahanNya dan realitinya bagi yang beragama Islam, Al-Quran itulah buku skrip, panduan atau lebih tepat lagi kitab yang perlu dirujuk, difahami, dipelihara dan dipegang seeratnya selagi cerita belum sampai ke akhirnya. Wallahualam…
*Suatu peringatan untuk kita yang terlalu ghairah untuk menonjolkan kelebihan diri anugerah Allah kepada kita mahupun merebut gelaran serta pandangan baik dari manusia, pastikan anda mengkaji dan meneliti dahulu haluan yang ingin anda pilih supaya ia mampu membawa anda ke arah yang betul supaya selamat sampai ke pelabuhan sebagaimana dihajatkan. Kerana apa? Kerana dalam perjalanan, terlalu banyak tarikan serta gangguan yang boleh muncul sama ada yang ia pernah terfikir oleh anda mahupun tidak. Ibaratnya anda sebagai kapal yang berlayar di lautan bersama dengan kapal-kapal yang lain. Oleh sebab keterujaan dan keghairahan untuk sampai ke pelabuhan ataupun suatu matlamat yang ingin anda kejar,lebih pantas dari kapal-kapal yang lain, maka anda terpengaruh atau cuba untuk melalui jalan pintas yang pada sangkaan anda akan memendekkan masa untuk andai sampai ke pelabuhan berbanding kapal orang lain. Iaitu anda memintas dan menindas.
Tanpa sedar sebenarnya haluan yang anda ambil itu mungkin dipenuhi terumbu karang atau bongkah ais. Ia mungkin menambah kesukaran perjalanan anda, menambahkan masa perjalanan anda malah mungkin lebih buruk lagi menamatkan terus perjalanan anda. Sebabnya, kapal anda mungkin mengalami kebocoran akibat terlanggar terumbu karang atau bongkah2 ais tersebut dan mungkin lebih malang lagi, kapal anda terus karam bersama anda tanpa selamat sampai ke destinasi tujuan anda.. Sesuaikan situasi di atas dalam realiti kehidupan kita. Ingatlah pepatah, orang tamak selalu rugi. Dan ingatlah juga bahawa Allahlah yang berkuasa memberikan apa jua yang dikehendakiNya kepada sesiapa juga hambaNya. Walau anda menggunakan muslihat bagaimana sekalipun untuk mencapai matalamat anda, tanpa izin Allah, ia tetap tidak akan terjadi. Mohon dan berharaplah hanya kepada Allah...

0 comments:
Post a Comment