CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, November 8, 2009

Cerita Kucing dan Manusia

Kenapa saya pilih cerita pasal kucing dan manusia? Sebabnya, saya ni suka memelihara kucing. Sekadar berkongsi, saya sekeluarga pernah membela hampir 20 ekor kucing dalam satu masa. Hmm, bagi orang yang betul2 minat kucing, jumlah ni mungkin sikit atau biasa.Tak kisah la tu, cuma yang penting, selama membela kucing ni, banyak sangat kerenah, ragam dan macam2 lah perangai kucing ni yang menghiburkan hati. Nak tau? Kalau diperhatikan betul-betul, kucing ni perangai @ tabiat sama saja macam manusia. Ada yang sombong, dengki, manja, moody, beradab, tak beradab dan ada juga yang galak perangainya atau dalam bahasa daerah Pahang dipanggil tak kelulu @ gelatat..huhu.. Selain tu, kucing pun ada penyakit2 sama juga macam manusia. Contohnya, demam, sakit perut, sakit mata dan ada jugak yang kena penyakit kronik macam strok dan kanser. Sebab tu la, rasa nak berkongsi pengalaman membela kucing ni, mana la tau yang baik boleh jadikan pengajaran.. Tak gitu?
      Setiap tajuk-tajuk kecil bagi cerita kucing ni, saya kaitkan dengan apa yang berlaku dalam kehidupan kita seharian. Sebab apa? Sebab setiap kejadian itu dapat kita ambil pengajaran untuk memperbaiki lagi hidup kita walaupun sekecil-kecil perkara hatta melalui perangai dan kehidupan haiwan sekalipun. Sesungguhnya segala perbuatan Allah itu tidaklah dijadikan hanya sia-sia...


Pentingnya asal keturunan…

Kucing ni kan, lain asal usulnya, lain la juga perangainya. Sebab tu la, sama juga dengan kita manusia, kalau nak memilih pasangan hidup ataupun nak berkawan, kita diingatkan supaya memilih keturunan yang baik( dalam agama juga ditegaskan) supaya hasilnya atau pengaruh yang dibawa kepada kita nanti juga baik. Sebagai contohnya, dulu, kami ada membela seekor kucing yang diambil dari rumah saudara abah. Kucing ni jatuh dari siling rumah. Waktu tu, usianya mungkin sekitar dua bulan. Berkenan kat kucing ni bukan sebab apa, sebab kucing tu warnanya macam monyet sikit. Walaupun waktu tu, kat rumah memang dah ada banyak kucing, tapi sebab minat, minta juga kebenaran mak abah nak bela kucing ni walaupun tak tau asal usulnya.

     Nak dijadikan cerita, sampai waktunya, kucing ni pun bunting. Baru je lepas lahir anaknya, bila nampak kucing jantan ataupun baru je dengar suara dari jauh, walaupun anak tengah menyusu sekalipun, terus dia terjun pergi dekat kucing jantan tu dan bergesel-gesel manja. Bayangkan, baru lepas beranak, dah buat perangai macam tu. Yang kelakarnya, kadang2 nampak kucing jantan tu menyampah dengan caranya ataupun bila nampak je dia berlari-lari datang, kucing jantan tu pun pusing ikut jalan lain. Apabila si jantan ingin mengembangkan keturunannya pula, ia lebih cenderung memilih pasangan yang lebih ‘jual mahal’ berbanding si betina tadi.

     Hmm, cuba kita fikir, ada tak manusia yang berperangai macam kucing tu? Ada kan? Contohnya, bila nampak orang lelaki terutamanya yang diminati, mulalah buat-buat gelak, melentok- liuk badannya, berjalan pun dibuat-buat lenggangnya yang niatnya, empunya diri dan yang punya mata hati je la yang tahu. Bagi orang lelaki pula, ada yang buat-buat suka dan ada juga yang langsung tak berminat dengan perangai macam ni, sama macam kucing jantan tadi. Ada pula yang sekadar suka main-main je, kira kasi ‘support’ supaya si perempuan bertambah aksinya yang dalam bahasa remaja sekarang ni mungkin dipanggil ‘gedik’. Walaupun lelaki adakalanya melayan perangai begini dan nampak terhibur tapi, biasanya kalau ditanya pada si lelaki, pastinya perempuan begitu bukanlah pilihan untuk dijadikan pasangan hidup.

     Pentingnya memilih keturunan atau memilih akhlak yang baik dalam mencari pasangan mahupun berkawan adalah kerana keturunan yang baik selalunya memelihara nama baik keluarga dan keturunan mereka dengan menjaga tingkahlaku serta batas-batas dalam pergaulan. Ibarat barangan yang ingin dibeli, satu diletakkan di luar sebagai ‘display’yang mana sesiapa sahaja boleh memegangnya, membelek-belek dan meneliti barangan tersebut manakala yang satu lagi diletakkan rapi di dalam kotak dan tidak pernah disentuh sesiapa. Walaupun kedua-dua barang adalah sama tetapi tentu sekali kita mahukan yang masih berada di dalam kotak apabila ingin membeli kerana kita yakin bahawa barang yang ada di dalam kotak adalah lebih baik berbanding barang ‘display’ tadi yang mungkin telah mengalami kecacatan hasil daripada disentuh oleh ramai orang. Cuba anda aplikasikan situasi ini dalam konteks manusia. Ibaratkan barangan ‘display’ dan yang di dalam kotak tadi sebagai lelaki mahupun perempuan. Bagaimana?Yang mana pilihan hati? Fikirkanlah sebaiknya…

     Teringat kepada mak yang selalu berpesan supaya janganlah kerana diri kita yang tak tahu berakhlak dengan yang baik dan menjaga batas-batas agama dan adat dalam pergaulan dan kehidupan seharian, menyebabkan nama baik keturunan kita yang selama ini dipelihara oleh nenek moyang kita dahulu tercemar. Kalau kucing pun tahu memilih dan suka pada yang baik serta menolak yang kurang atau tidak baik, inikan pula kita manusia yang dianugerahkan akal oleh Allah S.W.T. Jadi, ingatlah wahai perempuan serta lelaki, peliharalah tingkahlaku serta beradablah mengikut adat dan agama kita. Kalau adat dan agama menjadi pegangan, kita bukan saja menjaga maruah diri, malah keluarga dan keturunan kita. InsyaAllah..


Beradab…

Percaya atau tidak, kucing juga tahu beradab. Kucing2 kami di rumah, dididik dengan adab. Mak la yang jadi ‘cikgu besar’ bila bab2 adab ni. Ada kucing yang bila nak lalu depan tuannya, dia akan berjalan dengan hati2 ataupun ada yang lebih baik, ambil jalan lain supaya tak mengganggu. Kalau anda seorang yang suka memerhati, anda juga dapat lihat perbezaan adab dari segi kelakuan kucing jalanan iaitu kucing-kucing yang terbiar dengan kucing-kucing yang dipelihara dengan baik di rumah.

     Alkisahnya, ada seekor kucing kami ni namanya Tunggal. Kucing ni dapat nama tunggal bukan sebab apa, sebab dia merupakan anak tunggal,lahirnya seekor saja,lain dari kebiasaan kucing yang biasanya anak yang dilahirkan adalah lebih dari seekor. Tunggal ni merupakan kucing yang menjadi kesayangan keluarga terutamanya mak sebab dia sangat-sangatlah menjaga adab dengan kami. Tunggal tak pernah memanjat meja makan, curi ikan kat dalam sinki atau membuang di merata-rata. Kalau dia masuk ke rumah pun, sangat berhati-hati berjalan dan kalau kita nak larang dia buat sesuatu, hanya panggil nama dia dengan nada yang sedikit tinggi, terus dia tak buat. Tapi Tunggal ni sememangnya dah sedia maklum dengan apa yang menjadi larangan keluarga kami bagi dia. Jadi, dia jarang buat benda-benda yang boleh mendatangkan kemarahan kami. Emm, reti bahasa betul kucing ni.

     Kalau dia ada anak-anak kecil pula, sangat pandai mengawal anak-anaknya supaya tidak melanggar adab yang menjadi kebiasaan dia. Setiap kali anak –anaknya bermain, dia akan ada mengawal. Kalau anak-anak dia dah agak berlebih galak mainnya, dia akan mengiau menandakan dia menegur anak-anaknya. Ada beberapa peringkat anaknya yang dengar cakap bila ditegur dan ada pula peringkat anaknya yang degil sikit. Bila dia dah berbunyi menegur anaknya tu, tapi anaknya masih buat juga, maka dia akan pergi dekat anaknya, menjilat-jilat anaknya dan seterusnya bagi susu. Hmm, seekor ibu yang sangat baik. Sangat menyenangkan hati bila tengok Tunggal mengawal perangai anak-anaknya. Hasil kawalan Tunggal ni, terhasillah generasi kucing yang baik-baik perangainya di rumah kami. Namun, Tunggal ni mati pada penghujung tahun 2008 setelah hidup selama hampir 11 tahun kerana menghidap kanser kulit (menurut doktor yg merawatnya). Dia dah menghidap kanser tu selama hampir 2 tahun. Menyedihkan tapi itu lebih baik bagi dia.

     Apa yang dapat dikaitkan dalam cerita Tunggal dengan kehidupan manusia? Ya, dari segi adabnya. Bayangkan, kalau seekor kucing pun tahu menjaga adabnya seharusnya manusia tentulah lebih-lebih lagi tahunya. Malangnya, kalau diperhati di persekitaran kita kini sudah ramai yang meninggalkan adab malah semakin biadap! Hal ini bukan sahaja dapat diperhati pada golongan anak-anak sahaja malahan ibu bapa juga semakin ramai begitu. Dan sebenarnya, sikap ibu bapa itu sendirilah yang menjadi contoh buat anak-anak. Suatu contoh, jika bertandang ke rumah orang. Hasil pemerhatian, rata-rata ibu bapa jarang yang menegur tingkahlaku bebas anak-anak mereka walaupun anak-anak tanpa segan silu membuka almari milik tuan rumah, menyelongkar barang-barang atau menyentuh segala perhiasan di dalam rumah walaupun anak-anak melakukannya di depan mata ibu bapa. Kalau Tunggal tadi seekor kucing, tahu menegur anak-anaknya yang berkelakuan bebas di rumah tuannya sendiri, mengapa manusia tidak pula sedar bahawa tingkahlaku bebas anak-anaknya di rumah orang itu sangat perlu ditegur? Itu sekadar satu situasi yang boleh dijadikan contoh. Terlalu banyak sebenarnya situasi yang boleh dijadikan contoh perihal pudarnya adab dalam kehidupan kita kini.

     Berbalik kepada situasi tadi, Tunggal menegur mungkin kerana sayangkan anaknya bimbang anaknya bakal dibuang sekiranya kelakuan tidak disenangi tuan rumah. Mungkin juga kerana Tunggal sedar bahawa anak itu tanggungjawabnya, maka dialah yang perlu mendidik. Justeru, tidak sayangkah manusia kepada anak-anak apabila mereka diabaikan tanpa bimbingan? Tidak sedarkah manusia bahawa anak-anak dibawah tanggungjawab ibubapa, maka merekalah yang perlu mendidik supaya anak-anak menjadi manusia dalam konteks yang sebenar-benarnya, bukan sekadar pada nama? Ingatlah bahawa pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak membawa kepada besarnya kemungkinan anak-anak untuk tergelincir dari landasan hidup yang sebenar yang akhirnya membawa kepada terbuangnya mereka dari pandangan tuan sekalian alam iaitu Allah S.W.T? Justeru, pikullah amanah dan tanggungjawab yang kita ada sebaiknya, berusahalah untuk menjauhi segala perkara yang dibenci ’tuan rumah’, mendekati segala perkara yang disukai, dicintai ’tuan rumah’ iaitu pemilik kediaman yang kita semua singgah ketika ini, agar kita tidak terbuang dari pandanganNya dan selamat kembali kepadaNya, bila sampai ketika. Insyaallah...

0 comments: